Isnin, Julai 19, 2010

Kita di dalam Berita Harian!!!


17 Jul 2010

EKSTRA!

SEMARAK ACARA
Suara hatiku

Puisi hidup dengan gaya pendeklamasi

Oleh
Zaleha Isnin

DEKLAMATOR - bukan penyair atau penyajak. Deklamator menghidupkan puisi dengan suara yang baik dan gaya serta gerak tubuh yang sesuai. Untuk mendeklamasikan puisi, mereka harus menggunakan bahasa baku.

Itulah di antara perkara yang disampaikan penulis, Rohman Munasip, di bengkel deklamasi puisi yang berlangsung baru-baru ini.

Bengkel sempena sambutan Bulan Bahasa itu merupakan anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Kelab Masyarakat Telok Blangah.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah St Margaret's, Sekolah Sains dan Teknologi Singapura dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah menyertai bengkel tersebut.

Para peserta diajar mengenai sejarah deklamasi, persiapan awal dan ciri-ciri yang harus ada untuk menjadi seorang deklamator yang baik serta panduan-panduan berguna untuk menyampaikan puisi dengan lebih yakin dan kreatif.

Pelajar Sekolah Sains dan Teknologi Singapura, Iskandar Zulkarnain, 13 tahun, dan rakannya, Nur Nadiah Ismail, berasa lebih mudah kini untuk meluahkan kreativiti mereka melalui puisi di samping mengenal dengan lebih dekat lagi kehalusan bahasa dan budaya Melayu.

'Pelajaran sains yang kami pelajari di sekolah ialah sebagai panduan hidup sehari-hari dan seni pula sebagai satu riadah bagi kami tenangkan fikiran dan tekanan. Melalui puisi, kami belajar mengenai seni bahasa dan budaya,' kata Iskandar.

Para peserta juga begitu teruja ketika diberi peluang mempraktikkan apa yang telah dipelajari dalam bengkel tersebut.

Pertama, mereka harus mendeklamasikan sajak Ini Nasi Yang Ku Suap, karya Allahyarham Masuri SN dan di akhir bengkel pula, mendeklamasikan lagu tema Bulan Bahasa, Bahasa Menjunjung Budaya.

Selain daripada mempelajari mengenai intonasi dan berinteraksi melalui puisi, peserta juga berasa lebih yakin, bersemangat dan berani untuk meluahkan perasaan mereka.

Seperti kata Nurhidayah Azman dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah:

'Bengkel ini memberikan keyakinan kepada kami agar lebih berani ke depan untuk meluahkan perasaan.'

Peserta juga berharap bengkel mahupun sayembara puisi harus lebih kerap diadakan kerana pelajar memerlukan ruang serta peluang sebagai wadah untuk mereka bersuara dan membina keyakinan.



1 ulasan: